SELEPAS hampir seminggu jendela 2009 dibuka, dunia teknologi maklumat (IT) masih 'bercuti' daripada pelbagai pelancaran mahupun pengumuman penting tapi ia bukan sekali-kali menandakan inovasi kini membisu.
Aliran IT dijangka lebih meluas dengan 2009 hanyalah permulaan gear satu dalam menyediakan barisan teknologi yang bakal menyusul satu persatu.
Beberapa syarikat IT optimis untuk memanjangkan langkah dalam menyediakan inovasi lebih baik kepada pengguna di sebalik kemelut ekonomi yang melanda.
Penyedia perkhidmatan IT, Sun Microsystems Malaysia menjangkakan janaan perniagaan dan kerajaan di pasaran akan bertambah dengan teknologi sumber terbuka menjadi pemangkin pembangunan inovasi berikutan kos serta pelaburannya yang minimum.
Menurut Pengarah Urusannya, CP Loo, strategi sumber terbuka yang dimainkan syarikat itu dan standard ditawarkan industri lain membantu keperluan pengguna dalam memenuhi kehendak pasaran.
"Ramai di kalangan pelanggan kami mengguna pakai penyelesaian Sun untuk meningkatkan mutu prestasi perniagaan mereka ekoran tekanan bagi menangani kos IT dalam suasana ekonomi global tidak menentu," katanya.
Beliau berkata, teknologi sumber terbuka yang diterima industri membantu pembangun IT membina penyelesaian baru seterusnya menolong masyarakat menerima pelbagai faedah melaluinya.
Selain itu, Loo turut menjangkakan 'IT yang lebih hijau' akan dipraktikkan industri serta pengguna dalam membantu mereka mencantas kos yang tidak dilihat dengan mata kasar sebelum ini.
"Tenaga yang lebih efisien membantu mengurangkan kos watt atau beban kerja perkomputeran dan ia akan menjadi keutamaan pada 2009 ini.
"Apatah lagi industri turut melihat tenaga efisien memberikan pulangan pelaburan lebih bermakna manakala pusat data akan terus dibangunkan secara maju yang menjadikannya lebih agresif termasuk penggunaan kaedah maya atau virtualization," kata Loo.
Katanya, perbincangan mengenai suhu pusat data akan terus diperkatakan industri terutama berkaitan sistem penyejukan mekanikal tapi menjangkakan penggunaannya belum dapat diperkenalkan seawal 2009 ini.
"Untuk tempoh 25 tahun, Sun dipacu visi 'rangkaian adalah komputer'. Oleh itu menjelang 2009 ini, perkomputeran 'cloud' akan menjadi sasaran baru industri," ujarnya.
Sun memandang perkomputeran cloud sebagai sesuatu yang serius apatah lagi dunia Internet sebenarnya masih di peringkat permulaan dan masih banyak lagi ruang boleh diteroka.
"Bukan berdasarkan fakta kosong tapi jangkaan kami bakal menyaksikan perkomputeran cloud akan terus memberi impak dalam menentukan rekaan prasarana IT dan ia membenarkan pelbagai keperluan disalurkan ke web, perniagaan dan pengguna," tambah Loo.
Ketika mengulas mengenai industri perkakasan pada 2009 ini, Loo memberitahu kajian International Data Corp (IDC) menunjukkan pelayan bersaiz sederhana dijangka akan membelanjakan lebih RM47 bilion untuk peranti itu nanti.
"Beberapa kelebihan akan disaksikan melalui pelayan bersaiz sederhana merangkumi pengurangan kos operasi, penjimatan ruang untuk penempatannya dan penjimatan tenaga yang memberikan nilai besar ketika ekonomi sekarang," katanya.
Loo juga tidak menafikan pembangunan IT ketika ekonomi gawat dengan menyatakan perkomputeran berprestasi tinggi (HPC) akan menjadi topik hangat apabila dunia perniagaan menyedari ia mampu menggiatkan bisnes mereka selari dengan kehendak pelanggan.
"Ia akan dapat disaksikan melalui industri besar seperti minyak dan gas memandangkan mereka memerlukan data yang intensif. Tidak terkecuali sektor pembuatan kerana HPC berkemampuan menyediakan storan lebih kukuh," tambahnya.
Bukan itu saja, sektor perisian juga menerima tempias dalam pembangunan IT sepanjang 2009 apabila sumber terbuka membuka potensi lebih kemas dan terus menerajui kesan positif kepada pengguna.
Syarikat di India, China, Eropah dan Amerika menjadi dominan menggunakan sumber terbuka dalam membangunkan pelbagai perisian.
Di China dan India saja, jutaan pembangun perisian dikesan dan kebanyakan mereka dihasilkan kerana tidak mampu membayar kos teknologi yang menggunakan kaedah perlesenan.
Berikutan itu, mereka beralih kepada perisian sumber terbuka seperti MySQL, Ubuntu, Linux, OpenSolaris, Java atau OpenOffice.org yang diperoleh secara percuma.
Langkah terbabit dijangka akan terus diguna pakai termasuk dalam sektor perniagaan yang membuka teknologi ke arah perkongsian dengan syarikat inovasi lain seperti Amazon, Google, Nokia dan Sun Microsystems.
Kebanyakan kerajaan di dunia termasuk Malaysia, Indonesia, India dan Afrika Selatan memiliki format dokumen terbuka untuk membantu mengurangkan kos serta memastikan rakyatnya mempunyai akses sama rata terhadap bahan penting mulai sekarang.
Penyelidikan firma Gartner melaporkan lebih 90 peratus syarikat dunia akan menggunakan perisian sumber terbuka menjelang 2012.
Dalam pada itu, peneraju pasaran pemprosesan, Intel Malaysia menjangkakan kekuatan pelaburannya di Malaysia terus kukuh walaupun diancam masalah ekonomi dunia.
Pengarah Urusannya, Atul Bhargaya, berkata syarikatnya percaya pelaburan mampu memberi impak jangka panjang dalam keadaan kemelesetan ekonomi.
"Intel Malaysia akan berdiri secara kompetitif memandangkan kami sudah berpengalaman bertahun-tahun menangani pelbagai masalah sebelum ini.
"Satu perkara yang kami pelajari ialah anda tidak akan terlepas daripada masalah kegawatan. Jika syarikat mahu lebih kompetitif, mereka perlu melabur untuk menjadi juara ketika kemelesetan," katanya.
Menurutnya, syarikat yang gagal dalam menyediakan kitaran pelaburan IT lebih mantap akan jatuh serta mengambil risiko merugikan mereka pada masa akan datang.
"Kita perlu menetapkan satu perkara di minda iaitu walaupun aktiviti perniagaan berkemungkinan sedikit perlahan, cabaran besar lain seperti tenaga, alam sekitar, kesihatan, pendidikan dan sains hidup tidak sekali-kali akan lenyap dari dunia ini," katanya.
Beliau berkata, pelaburan dalam teknologi baru bakal menangani isu kritikal di Malaysia malah dunia dan Intel percaya teknologi adalah enjin dalam meningkatkan ekonomi.
Sementara itu, Pengurus Negara Pemasaran dan Jualannya, Ryaz Patel, berkata masalah kegawatan ekonomi akan membentuk pengguna, syarikat dan kerajaan yang lebih mantap membolehkan mereka melepasi transaksi ekonomi dengan lebih teguh berbanding sebelum ini.
"Permintaan global yang terhad dan kurangnya pelaburan langsung dari luar menjadikan negara ini lebih kompetitif membolehkan lebih banyak rakyat negara ini menghasilkan produktiviti tempatan," katanya.
Menurut Patel, secara umum, IT memainkan peranan penting membantu meningkatkan produktiviti kerana ia adalah kunci pertumbuhan ekonomi.
"Berikutan itu, Intel mempunyai tugas memastikan perkomputeran lebih berpatutan akan ditawarkan kepada seluruh rakyat negara ini dan kami akan jadi lebih agresif dalam menawarkan kempen membeli kepada mereka," ujarnya.
Katanya, jika dilihat di pasaran sekarang, harga perkakasan perkomputeran sudah mencecah kurang daripada RM1,000 bagi keperluan asas.
Patel berkata, Intel turut komited dalam menawarkan perkhidmatan jalur lebar lebih meluas kepada rakyat negara ini membolehkan kos akses Internet dicapai.
"Sehubungan itu, pelaburan dengan kerjasama anak syarikat Green Packet iaitu Packet One Networks akan terus diperkasakan bagi menawarkan rangkaian WiMAX 802.16e secara meluas," katanya.
Nada sama turut dirasakan vendor rumusan IT iaitu Epicor Asia yang menyatakan pasaran berkeyakinan untuk terus maju walaupun sedikit penukaran dalam operasi perniagaan akan dilihat pada 2009.
Naib Presiden Jualannya, Bryan Tan, menyatakan kebanyakan syarikat memerlukan penyelesaian yang efisien dan mengurangkan kos operasi dalam menyediakan perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham menjangkakan pembangunan Web 2.0 akan diperkasakan sedikit demi sedikit sehingga menyaksikan aliran komunikasi berubah ke arah lebih maju.
"Inovasi terkini yang mengurangkan kos pengangkutan syarikat akan diperluaskan memandangkan pekerja tidak lagi perlu pergi jauh untuk bermesyuarat, cukup sekadar mengadakan sidang video memandangkan ia lebih menjimatkan kos," katanya.
Teknologi yang dibangunkan Cisco seperti TelePresence dan WebEx adalah contoh rumusan menjimatkan kos dijangka menjadi penyelesaian diperlukan ketika ekonomi merudum melanda dunia pada 2009.
Kekukuhan IT dalam 359 hari lagi bakal menyaksikannya membantu dunia mengatasi masalah kegawatan seterusnya menyaksikan perkembangan inovasi secara setempat bakal mewarnai persada kehidupan masyarakat maju.
sumber:harian metro
No comments:
Post a Comment