Friday, January 16, 2009

nak belajar tak bahasa sepanyol??

Bahasa sepanyol tidak lah sesusah mana pun.Ia lebih kurang bahasa inggeris jugak.
Buat pengetahuan semua, bahasa sepanyol merupakan bahasa kedua yang banyak dituturkan selepas bahasa mandarin.Dengan bilangan penuturnya mencecah 4oo juta.

Oleh itu, marilah sama-sama kita belajar bahasa ini. Walaupun kita dapat bertutur dalam bahasa ini tetapi sekurang-kurangnya kita tahu sistemnya.

Sekarang ini, untuk belajar bahasa (apapun bahasa) kita tidak perlu susah-susah ke kelas bahasa asing. Hal ini kerana, dengan kecanggihan teknologi kita boleh belajar bahasa dengan mudah dan senang melalui internet. Banyak website dibangunkan berkenaan bahasa sekarang ni. Contohnya, website untuk belajar bahasa sepanyol, bahasa perancis, mandarin, inggeris dan sebagainya. Kita mudah memahami dan mempraktikkannya kerana diberikan contoh yang mudah-mudah dan paling berkesan lagi adanya sistem audio. Dengan ini,kita dapat menyebut satu-satu perkataan dalam bahasa yang kita pelajari itu dengan betul.

Oleh itu, sama-samalah kita memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada bukannya menyalahgunakan kemudahan ini.

Tuesday, January 13, 2009

Gawat Tak Jejas Pembangunan IT

SELEPAS hampir seminggu jendela 2009 dibuka, dunia teknologi maklumat (IT) masih 'bercuti' daripada pelbagai pelancaran mahupun pengumuman penting tapi ia bukan sekali-kali menandakan inovasi kini membisu.

Aliran IT dijangka lebih meluas dengan 2009 hanyalah permulaan gear satu dalam menyediakan barisan teknologi yang bakal menyusul satu persatu.


Beberapa syarikat IT optimis untuk memanjangkan langkah dalam menyediakan inovasi lebih baik kepada pengguna di sebalik kemelut ekonomi yang melanda.

Penyedia perkhidmatan IT, Sun Microsystems Malaysia menjangkakan janaan perniagaan dan kerajaan di pasaran akan bertambah dengan teknologi sumber terbuka menjadi pemangkin pembangunan inovasi berikutan kos serta pelaburannya yang minimum.

Menurut Pengarah Urusannya, CP Loo, strategi sumber terbuka yang dimainkan syarikat itu dan standard ditawarkan industri lain membantu keperluan pengguna dalam memenuhi kehendak pasaran.

"Ramai di kalangan pelanggan kami mengguna pakai penyelesaian Sun untuk meningkatkan mutu prestasi perniagaan mereka ekoran tekanan bagi menangani kos IT dalam suasana ekonomi global tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, teknologi sumber terbuka yang diterima industri membantu pembangun IT membina penyelesaian baru seterusnya menolong masyarakat menerima pelbagai faedah melaluinya.

Selain itu, Loo turut menjangkakan 'IT yang lebih hijau' akan dipraktikkan industri serta pengguna dalam membantu mereka mencantas kos yang tidak dilihat dengan mata kasar sebelum ini.

"Tenaga yang lebih efisien membantu mengurangkan kos watt atau beban kerja perkomputeran dan ia akan menjadi keutamaan pada 2009 ini.

"Apatah lagi industri turut melihat tenaga efisien memberikan pulangan pelaburan lebih bermakna manakala pusat data akan terus dibangunkan secara maju yang menjadikannya lebih agresif termasuk penggunaan kaedah maya atau virtualization," kata Loo.

Katanya, perbincangan mengenai suhu pusat data akan terus diperkatakan industri terutama berkaitan sistem penyejukan mekanikal tapi menjangkakan penggunaannya belum dapat diperkenalkan seawal 2009 ini.

"Untuk tempoh 25 tahun, Sun dipacu visi 'rangkaian adalah komputer'. Oleh itu menjelang 2009 ini, perkomputeran 'cloud' akan menjadi sasaran baru industri," ujarnya.

Sun memandang perkomputeran cloud sebagai sesuatu yang serius apatah lagi dunia Internet sebenarnya masih di peringkat permulaan dan masih banyak lagi ruang boleh diteroka.

"Bukan berdasarkan fakta kosong tapi jangkaan kami bakal menyaksikan perkomputeran cloud akan terus memberi impak dalam menentukan rekaan prasarana IT dan ia membenarkan pelbagai keperluan disalurkan ke web, perniagaan dan pengguna," tambah Loo.

Ketika mengulas mengenai industri perkakasan pada 2009 ini, Loo memberitahu kajian International Data Corp (IDC) menunjukkan pelayan bersaiz sederhana dijangka akan membelanjakan lebih RM47 bilion untuk peranti itu nanti.

"Beberapa kelebihan akan disaksikan melalui pelayan bersaiz sederhana merangkumi pengurangan kos operasi, penjimatan ruang untuk penempatannya dan penjimatan tenaga yang memberikan nilai besar ketika ekonomi sekarang," katanya.

Loo juga tidak menafikan pembangunan IT ketika ekonomi gawat dengan menyatakan perkomputeran berprestasi tinggi (HPC) akan menjadi topik hangat apabila dunia perniagaan menyedari ia mampu menggiatkan bisnes mereka selari dengan kehendak pelanggan.

"Ia akan dapat disaksikan melalui industri besar seperti minyak dan gas memandangkan mereka memerlukan data yang intensif. Tidak terkecuali sektor pembuatan kerana HPC berkemampuan menyediakan storan lebih kukuh," tambahnya.

Bukan itu saja, sektor perisian juga menerima tempias dalam pembangunan IT sepanjang 2009 apabila sumber terbuka membuka potensi lebih kemas dan terus menerajui kesan positif kepada pengguna.

Syarikat di India, China, Eropah dan Amerika menjadi dominan menggunakan sumber terbuka dalam membangunkan pelbagai perisian.

Di China dan India saja, jutaan pembangun perisian dikesan dan kebanyakan mereka dihasilkan kerana tidak mampu membayar kos teknologi yang menggunakan kaedah perlesenan.

Berikutan itu, mereka beralih kepada perisian sumber terbuka seperti MySQL, Ubuntu, Linux, OpenSolaris, Java atau OpenOffice.org yang diperoleh secara percuma.

Langkah terbabit dijangka akan terus diguna pakai termasuk dalam sektor perniagaan yang membuka teknologi ke arah perkongsian dengan syarikat inovasi lain seperti Amazon, Google, Nokia dan Sun Microsystems.

Kebanyakan kerajaan di dunia termasuk Malaysia, Indonesia, India dan Afrika Selatan memiliki format dokumen terbuka untuk membantu mengurangkan kos serta memastikan rakyatnya mempunyai akses sama rata terhadap bahan penting mulai sekarang.

Penyelidikan firma Gartner melaporkan lebih 90 peratus syarikat dunia akan menggunakan perisian sumber terbuka menjelang 2012.

Dalam pada itu, peneraju pasaran pemprosesan, Intel Malaysia menjangkakan kekuatan pelaburannya di Malaysia terus kukuh walaupun diancam masalah ekonomi dunia.

Pengarah Urusannya, Atul Bhargaya, berkata syarikatnya percaya pelaburan mampu memberi impak jangka panjang dalam keadaan kemelesetan ekonomi.

"Intel Malaysia akan berdiri secara kompetitif memandangkan kami sudah berpengalaman bertahun-tahun menangani pelbagai masalah sebelum ini.

"Satu perkara yang kami pelajari ialah anda tidak akan terlepas daripada masalah kegawatan. Jika syarikat mahu lebih kompetitif, mereka perlu melabur untuk menjadi juara ketika kemelesetan," katanya.

Menurutnya, syarikat yang gagal dalam menyediakan kitaran pelaburan IT lebih mantap akan jatuh serta mengambil risiko merugikan mereka pada masa akan datang.

"Kita perlu menetapkan satu perkara di minda iaitu walaupun aktiviti perniagaan berkemungkinan sedikit perlahan, cabaran besar lain seperti tenaga, alam sekitar, kesihatan, pendidikan dan sains hidup tidak sekali-kali akan lenyap dari dunia ini," katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam teknologi baru bakal menangani isu kritikal di Malaysia malah dunia dan Intel percaya teknologi adalah enjin dalam meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, Pengurus Negara Pemasaran dan Jualannya, Ryaz Patel, berkata masalah kegawatan ekonomi akan membentuk pengguna, syarikat dan kerajaan yang lebih mantap membolehkan mereka melepasi transaksi ekonomi dengan lebih teguh berbanding sebelum ini.

"Permintaan global yang terhad dan kurangnya pelaburan langsung dari luar menjadikan negara ini lebih kompetitif membolehkan lebih banyak rakyat negara ini menghasilkan produktiviti tempatan," katanya.

Menurut Patel, secara umum, IT memainkan peranan penting membantu meningkatkan produktiviti kerana ia adalah kunci pertumbuhan ekonomi.

"Berikutan itu, Intel mempunyai tugas memastikan perkomputeran lebih berpatutan akan ditawarkan kepada seluruh rakyat negara ini dan kami akan jadi lebih agresif dalam menawarkan kempen membeli kepada mereka," ujarnya.

Katanya, jika dilihat di pasaran sekarang, harga perkakasan perkomputeran sudah mencecah kurang daripada RM1,000 bagi keperluan asas.

Patel berkata, Intel turut komited dalam menawarkan perkhidmatan jalur lebar lebih meluas kepada rakyat negara ini membolehkan kos akses Internet dicapai.

"Sehubungan itu, pelaburan dengan kerjasama anak syarikat Green Packet iaitu Packet One Networks akan terus diperkasakan bagi menawarkan rangkaian WiMAX 802.16e secara meluas," katanya.

Nada sama turut dirasakan vendor rumusan IT iaitu Epicor Asia yang menyatakan pasaran berkeyakinan untuk terus maju walaupun sedikit penukaran dalam operasi perniagaan akan dilihat pada 2009.

Naib Presiden Jualannya, Bryan Tan, menyatakan kebanyakan syarikat memerlukan penyelesaian yang efisien dan mengurangkan kos operasi dalam menyediakan perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham menjangkakan pembangunan Web 2.0 akan diperkasakan sedikit demi sedikit sehingga menyaksikan aliran komunikasi berubah ke arah lebih maju.

"Inovasi terkini yang mengurangkan kos pengangkutan syarikat akan diperluaskan memandangkan pekerja tidak lagi perlu pergi jauh untuk bermesyuarat, cukup sekadar mengadakan sidang video memandangkan ia lebih menjimatkan kos," katanya.

Teknologi yang dibangunkan Cisco seperti TelePresence dan WebEx adalah contoh rumusan menjimatkan kos dijangka menjadi penyelesaian diperlukan ketika ekonomi merudum melanda dunia pada 2009.

Kekukuhan IT dalam 359 hari lagi bakal menyaksikannya membantu dunia mengatasi masalah kegawatan seterusnya menyaksikan perkembangan inovasi secara setempat bakal mewarnai persada kehidupan masyarakat maju.

sumber:harian metro

peluang kerjaya

Rebut 15,000 kerja

Berita baik kepada mereka yang mencari kerja.

Kini terdapat 15,000 kerja kosong dalam bidang perhotelan dan tele-marketing atau Penyumberan Pemprosesan Perniagaan (BPO).

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, BPO ialah konsep perniagaan global dalam bidang teknologi maklumat yang diusahakan oleh syarikat-syarikat antarabangsa di negara ini.

"Syarikat-syarikat ini mempunyai sistem komunikasi yang terbaik khusus untuk menjalankan aktiviti perniagaan BPO yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tenaga kerja yang tinggi," katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar kelmarin membangkitkan masalah peningkatan pengangguran dengan kehadiran ribuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dijangka menamatkan pengajian pertengahan tahun ini.

pelan atasi pengangguran

sumber:harian metro (selasa,13 januari 2009)

KADAR pengangguran global sangat membimbangkan banyak negara, termasuk negara maju ketika dunia berhadapan dengan krisis ekonomi kronik yang menyebabkan puluhan ribu hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Biarpun begitu, walaupun masalah pengangguran negara ini masih dalam keadaan terkawal, sebagai langkah persediaan, memerlukan kerajaan merangka pelan strategik bagi mengatasi kemungkinan yang boleh berlaku.

Pelan Tindakan Pekerjaan Nasional (NAPE) 2008-2010 yang dilancarkan bakal menjadi landasan kepada kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah pengangguran di negara kita.

Pelan itu bertindak sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan peningkatan dalam kadar pengangguran pada masa hadapan.Pengangguran boleh berlaku kesan langsung krisis ekonomi global, suasana politik tidak stabil, kebergantungan kepada tenaga buruh, teknologi, kepakaran asing dan sebagainya.
Mekanisme sistematik dan dinamik menangani masalah pengangguran mampu bertindak balas terhadap permintaan rendah dalam pasaran buruh di samping menjadi ejen perubahan dalam pasaran tenaga kerja dan mampu meningkatkan daya saing negara dalam pasaran tenaga kerja global.

Bajet 2009 turut menekankan aspek pembangunan modal insan memandangkan daya tahan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa akan datang banyak bergantung kepada usaha membangunkan tenaga kerja.

Oleh itu, budaya cemerlang di semua peringkat tenaga kerja sama ada sektor awam atau swasta perlu disemai bagi meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Inisiatif dan perancangan yang sangat inovatif perlu bagi menjayakan usaha mengurangkan jurang pengangguran di Malaysia.

Ini dilakukan dengan menggalakkan penciptaan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada semua peringkat.

Di samping itu, rancangan menggalakkan penyesuaian dan mobiliti dalam pasaran pekerjaan sangat perlu bagi memastikan komitmen dan pengekalan sumber tenaga kerja serta menggalakkan pembangunan modal insan dan pembelajaran berterusan.

Pekerja berpengalaman dan berusia sangat penting diberi perhatian serta layanan agar kepakaran dan kemahiran mereka dapat dimaksimumkan dan menjadi aset utama kepada sesebuah organisasi.

Usaha mengukuhkan lagi kesamaan gender dalam setiap bidang pekerjaan yang bersesuaian hendaklah dilaksanakan agar tidak wujud rasa tidak puas hati kepada mana-mana individu.

Pelan menggalakkan integrasi pasaran buruh bagi golongan kurang bernasib baik serta memastikan setiap kerja dibayar sewajarnya sangat penting dan konsisten.

Melihat kepada krisis pengangguran global, termasuk di Amerika Syarikat, China dan lain-lain, kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan yang menjadi agenda utama negara dalam menyediakan hala tuju, langkah persediaan bijak dan strategik dalam menetapkan keutamaan serta peluang pekerjaan di pasaran buruh negara.

Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan kadar pengangguran dapat dikekalkan pada empat peratus tahun lalu dan tahun ini walaupun krisis ekonomi semasa akan memaksa langkah penjimatan majikan.

Melalui langkah, persediaan dan pelan yang dirangka, angka itu adalah kadar yang boleh diurus dan diyakini dapat dikekalkan kerajaan.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang dan peluang pekerjaan semakin terbatas, kerajaan bakal berdepan dua cabaran besar iaitu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan mereka serta lepasan universiti mempunyai tempat dalam pasaran.

Masalah kedua pula mengekalkan aliran kredit bagi memastikan pemilik perniagaan dapat meneruskan operasi perniagaan dengan dana latihan yang diperuntukkan kerajaan.

Oleh itu, masalah pengangguran rakyat diyakini dapat dikurangkan seminimum mungkin pada masa hadapan.

Biarpun begitu, diharapkan kadar pembuangan pekerja kali ini tidak seburuk ketika krisis ekonomi 1997 dan 1980-an apabila melalui pelbagai inisiatif, kerajaan dan semua pihak berusaha mengurangkan kadar pengangguran empat peratus ketika ini.

Menurut Keynes, negara yang mempunyai kadar pengangguran empat peratus atau kurang menunjukkan negara itu mencapai guna tenaga penuh.

Justeru, bagi memastikan kejayaan itu, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi dana latihan dalam usaha menyediakan peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran mereka.

Pengangguran dikategorikan sebagai tenaga buruh tetapi tidak menyumbang kepada keluaran negara.

Pengangguran boleh didefinisikan sebagai tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang aktiviti ekonomi tetapi sedang giat mencari pekerjaan dalam ekonomi.

Kadar pengangguran dari tahun 1996 hingga tahun 2000 adalah turun naik iaitu pada 1996 dan 1997, kadar pengangguran turun daripada 2.5% kepada 2.4%.

Pada 1998 pula, kadar pengangguran semakin meningkat kepada 3.2% dan kemudian menurun daripada 3.0% dalam 1998 kepada 2.9% dalam 2000.

Masalah pengangguran di Malaysia masih rendah berbanding negara maju. Jerman misalnya, kadar penganggurannya kira-kira 12 peratus, Perancis (9 peratus), Amerika Syarikat (5.5 peratus) dan Jepun antara 4 hingga 5 peratus pada 2004.

Pengangguran dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan ekonomi dan sosial iaitu terhadap sektor ekonomi ialah berlakunya pengurangan keluaran negara.

Taraf hidup rakyat juga menurun memandangkan ia diukur dengan menggunakan pendapatan perkapita.

Apabila pendapatan perkapita rendah, taraf hidup penduduk juga rendah.

Untuk itu, antara inisiatif dirancang ialah meningkatkan peranan laman web JobMalaysia menerusi proses penjenamaan semula.

Tugas itu diamanahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang akan mempromosikan laman web berkenaan ke seluruh negara.

Masalah pengangguran amat membimbangkan kerana kadar pengangguran tinggi boleh mengurangkan pendapatan negara dan memberi kesan langsung kepada jumlah pungutan cukai pendapatan dan cukai keuntungan syarikat.

Kerajaan akan kekurangan dana dan sumber pendapatan. Ia akan melambatkan proses pembangunan negara apabila kerajaan tidak dapat menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk menjana pertumbuhan ekonomi di samping menambahkan lagi jurang kemiskinan dalam masyarakat.

Pengangguran jika tidak dikawal dan ditangani secara holistik akan memberi kesan kepada struktur sosial dan budaya yang boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalam keluarga dan masyarakat di samping meningkatkan kejadian antisosial.

Ini akibat masalah kewangan daripada pengangguran yang teruk. Penganggur sanggup merompak, culik, bunuh dan sebagainya untuk mendapatkan wang serta meningkatkan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri seseorang.

Oleh itu, majikan, persatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak terbabit perlu terus memberi maklum balas serta kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi menjayakan pelan menangani masalah pengangguran.

Tumpuan utama kerajaan perlu diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan latihan, termasuk meningkatkan dan memperbaharui kemahiran pekerja dari semasa ke semasa.

Bagi menggalakkan penciptaan pekerjaan, lebih banyak peluang mesti diwujudkan dalam sektor berasaskan teknologi dan pengetahuan serta bidang yang mampu menawarkan bidang pekerjaan baru seperti bidang keusahawanan, pertanian, pengurusan dan kejuruteraan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyelidikan dan pembangunan (R&D).